Ku cari Hitam..Allah bagi putih..terus airmata ku mengalir...Allahhuakhbar...

| Wednesday, April 27, 2011 | |
Orang beriman hidup senang, orang tidak beriman pun ada yang lebih senang. Orang lain buat maksiat sampai tua bangka, dosa menimbun tapi selamat. Aku buat jahat sikit je, sekali dua je terus kena bala. Ini tidak adil!”

Ada tak hati kita kadang-kadang berbisik begitu?

Pemberian atau nikmat Allah ada dua jenis. Pertama pemberian yang diredhai dan satu lagi istidraj. Apa itu istidraj?

Pemberian atau nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya, maka itulah yang dinamakan istidraj.

Rasullulah saw. bersabda:
”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat  (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah swt”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Manusia yang derhaka dan sering berbuat maksiat biasanya terkeliru dengan pemikiran bahawa segala nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah masih meredhainya. Segala dosa dianggap kecil dan remeh.  Mereka lalai kerana tidak mendapat teguran daripada Allah.

Ada orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, badan sihat, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah. Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, “Ala.., orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!” Sombongnya mereka, takburnya mereka.

Manusia istidraj – Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah.

Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku.”

Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasullulah saw bersabda:
“Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya” (Kitab Nasaibul’Ibad)

Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sentiasa mentaati perintah Allah?
Mereka menjauhi segala maksiat, melipatgandakan ibadah tetapi masih diuji dan hidup mereka biasa sahaja. Ada yang susah juga. Kenapa?

Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah dan tidak diuji seteruk kita.

Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka mungkin bukanlah yang diredhai. Mungkin ianya bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?

Setiap sesuatu kejadian ada sesuatu untuk kita pelajari dan renungi. Ada didikan Allah yang tersembunyi supaya kita memuhasabah dan memperbaiki diri.

Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak tenang dan selamat, hidup kita mesti ada pegangan.

Tujuan hidup kita adalah mencari kerehdaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmat dan redha dengan segala ujian-Nya. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan. Sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.

Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Sehensem-hensem Nabi Yusof dan semerdu-merdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.



Sumber: Blog hamba Allah.

0 comments:

Post a Comment